Selepas membantu Kedah menjulang trofi Piala FA sebanyak tiga kali sebelum ini, kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar mengintai peluang untuk menjulang trofi berkenaan buat kali keempat apabila skuad Lang Merah turun menentang Perak pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Bekas pemain kebangsaan itu yang meraih trofi Piala FA bersama Kedah pada 2007, 2008 dan 2017 menjangkakan saingan sengit bakal ditampilkan pasukan Perak yang kali terakhir mendakap Piala FA pada 2004.
Pemain tengah skuad Lang Merah itu, pada masa sama, turut mengakui aksi kali ini agak istimewa kerana melibatkan dua wakil utara selepas edisi 2007 yang menyaksikan Kedah mengatasi Perlis 4-2 menerusi sepakan penalti pada aksi final di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.
“Persediaan kami berjalan seperti biasa dan saya berharap rakan sepasukan dapat teruskan momentum cemerlang dalam saingan Liga Super ke final Piala FA dan saya harapkan keputusan positif pada kali ini,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Dalam pada itu, Baddrol mengakui undian mudah yang diterima Kedah dalam saingan Piala Malaysia 2019 yang bermula awal bulan hadapan, dapat dijadikan dorongan untuk memburu keputusan positif pada kali ini.
Beliau bagaimanapun, mengingatkan rakan sepasukan untuk tidak memandang rendah keupayaan tiga pasukan lain dalam kumpulan A iaitu Terengganu FC, PKNS FC dan Negeri Sembilan yang turut mempunyai peluang sama rata pada saingan Piala Malaysia.
“Apabila diletakkan sebagai pasukan pilihan dalam kumpulan A, ia sedikit sebanyak memberi satu motivasi kepada saya dan rakan sepasukan, dan kami seharusnya tidak akan mengambil mudah saingan sengit daripada tiga pasukan ini,” jelas Baddrol.
Pada aksi separuh akhir, Perak menewaskan Pahang dengan aggregat 4-3, manakala Kedah mengatasi Felda United menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas terikat 3-3. - BERNAMA

0 Comments