Kepantasan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun mengejutkan kesemua ahli keluarganya berjaya menyelamatkan mereka dalam insiden kebakaran rumah di Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh, Selangor pada 4 September lepas.
Susulan
keberanian itu, Altamis Faiz Shahrullizam yang merupakan anak kedua
daripada lima beradik, dianugerahkan Anugerah Pingat Hang Tuah bersempena
dengan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan Tahun 2023 hari ini.
Pelajar Sekolah
Kebangsaan Desa Aman, Sungai Buloh itu berkata kejadian yang berlaku kira-kira
4 pagi ketika dia sedang tidur bersama adik lelakinya Aryan Adwa, 3, manakala
ibu bapa serta tiga adik-beradiknya pula tidur di bilik berasingan itu, masih
segar dalam ingatannya.
"Ketika saya
tidur dengan adik, tiba-tiba saya terbau asap dan terus kejut ayah dan ibu
serta adik-beradik lain untuk selamatkan diri.
"Saya masih
terbayang (kejadian itu), kalau ingat semula memang takut tetapi saya beranikan
diri," katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Kanak-kanak
Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri di Johor Bahru hari ini.
Altamis Faiz
berkata keberanian yang dimilikinya itu dipengaruhi daripada seni bela
diri silat yang dipelajari sejak berusia enam tahun, selain menyaksikan
tindakan penyelamatan bomba dalam siri animasi tempatan Upin dan Ipin.
Ibunya, Fazreen
Ismail, 39, berkata dia berbangga dengan keberanian anaknya itu yang bukan
sahaja mengejutkan mereka, tetapi turut bertindak pantas mengambil kunci rumah.
"Selepas
kami berjaya keluar dari rumah, Altamis Faiz turut mengejutkan jiran-jiran
sebelah rumah, manakala suami dan anak sulung cuba padamkan api," kata
kakitangan kerajaan itu.
Meskipun rumahnya
terbakar sebanyak 70% dalam kebakaran itu, dia bersyukur kerana kesemua ahli
keluarganya terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Altamis Faiz
menerima anugerah berkenaan dengan membawa pulang wang berjumlah RM5,000
yang disampaikan oleh Nancy.
Sementara itu,
Anugerah Gemilang Kebudayaan dan Kesenian pula diberikan kepada Ahmad Mikhail
Damsal Abdul Hakim, 14, Anugerah Gemilang Sukan disampaikan kepada Emelda
Camalia Abd Razak, 13, dan Nurr Arissa Irdiani Azizi, 13 menerima Anugerah
Gemilang OKU.
Hampir 400
kanak-kanak dari seluruh negara meraikan sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat
Kebangsaan Tahun 2023 itu yang bertemakan "Hak Kami Masa Depan Kami".
– Bernama
0 Comments