KIRA-KIRA 5,000 umat Islam membanjiri Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato' Onn di Johor Bahru hari ini bagi menyatakan solidariti terhadap perjuangan Palestin menentang rejim Zionis.
Hadirin yang
rata-ratanya berpakaian berwarna putih tiba seawal 3 petang dengan mengenakan
mafla dan mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti terhadap
warganya yang ditindas rejim Zionis itu.
Menteri Besar
Johor Onn Hafiz Ghazi berkata pada perhimpunan itu bahawa kehadiran
ramai penyokong biarpun dalam keadaan hujan rintik menunjukkan kesungguhan
rakyat membela nasib rakyat Palestin supaya didengari semua pihak termasuk di
peringkat antarabangsa.
"Tujuan kita
berkumpul hari ini, Bangsa Johor untuk memberikan sokongan yang tidak
berbelah bagi terhadap saudara seagama kita di bumi Palestin.
Kita menuntut
kepada pemimpin dunia agar hak asasi kemanusiaan diberikan kembali kepada
mereka dan kita menuntut supaya maruah kedaulatan bumi Palestin diberi kembali
dan kita tuntut kezaliman, pembunuhan kejam diberhentikan serta merta.
Saya dimaklumkan
dua hari lepas salah seorang pelajar tidak ke majlis
konvokesyen kerana pada hari itu 44 ahli keluarganya terkorban di
bumi Palestin dan inilah ujian terpaksa mereka hadapi di mana
mereka tidak tahu apa yang akan berlaku kepada keluarga mereka,"
katanya.
Selain daripada
perhimpunan itu pada hadirin turut meluangkan masa untuk membaca Surah Yassin,
bertahlil dan menunaikan solat fardu dan hajat di masjid itu.
Turut hadir
Setiausaha Kerajaan Johor Azmi Rohani, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal
Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid, bekas-bekas menteri besar Johor
Hasni Mohamad dan Sahruddin Jamal serta penyanyi rock terkenal Suhaimi Abdul
Rahman atau “Amy Search”.
Dalam majlis
itu, Onn Hafiz turut menyerahkan replika cek lebih RM2.5 juta untuk
disalurkan ke Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin Kementerian Luar
Malaysia hasil daripada kutipan di masjid dan surau seluruh negeri Johor,
syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Serangan tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza setakat ini mencatatkan angka lebih 12, 000 rakyat Palestin terbunuh termasuk lebih 8,300 wanita dan kanak-kanak manakala lebih 30,000 yang lain cedera. – Bernama
0 Comments