Lebih 70 penduduk perkampungan Orang Asli suku kaum Temiar di Gua Musang lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri apabila seekor gajah liar menceroboh masuk ke Kampung Kelaik, Pos Blau, Khamis lepas.
Seorang penduduk
Uda Busu, 42, berkata gajah dewasa itu muncul buat pertama kali pada hari Rabu
merosakkan tanaman penduduk, dan muncul semula kira-kira pukul 5 petang
hari kemudiannya berhampiran dengan sekumpulan kanak-kanak yang sedang
bermain.
Beliau berkata
susulan kemunculan haiwan itu, semua penduduk dari 24 rumah di perkampungan
berkenaan bertempiaran lari menuju ke jalan raya Gua Musang-Lojing.
“Kami semua
terpaksa lari meninggalkan rumah dan menunggu di tepi jalan kerana risau gajah
itu naik minyak.. Kami menunggu di tepi jalan sehingga benar-benar yakin
gajah itu dah balik ke hutan, kami kembali ke rumah semula kira-kira
pukul 3 pagi.
“Sampai di rumah,
kami dapati sisa makanan dan kuali dari dua rumah berselerak di atas tanah
dipercayai angkara gajah itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Susulan ancaman
gajah liar itu, Penghulu Pos Blau, Salleh Angah, 60, berharap Jabatan
Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil langkah
proaktif bagi menjamin keselamatan penduduk yang berdepan dengan masalah
itu.
“Kita harap pihak
yang berkenaan dapat membuat tindakan untuk jangka masa yang panjang, kerana
tidak mustahil gajah itu akan berjalan menuju ke perkampungan lain pula.
“Sebelum ini ada
juga gajah muncul di jalan raya menuju Pos Blau. Kalau boleh kita mahu pihak
berwajib menghalaunya masuk jauh ke dalam hutan dan tidak muncul di mana-mana
kawasan kampung lagi,” katanya.
Sementara itu,
Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani mengesahkan pihaknya menerima
laporan berkenaan kejadian itu. - Bernama
0 Comments