Pusat Khidmat Parlimen Wangsa Maju dengan kerjasama Pertubuhan Latihan Teraju Nusa Malaysia (Platinum) akan menganjurkan "Karnival Havoc Wangsa Maju Kita Punya 2024" pada 24 Februari ini bertempat di Taman Tasik Danau Kota, Setapak.
Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan berkata, karnival ini akan memberi tumpuan kepada tiga acara utama iaitu FunWalk, pelancaran kad "Wangsa Maju Kita Punya" serta penyampaian biasiswa oleh Yayasan MSU.
Katanya, program akan dimulakan di sebelah pagi dengan acara FunWalk Wangsa Maju Kita Punya yang bertemakan bandar rendah karbon.
"Karnival ini merupakan salah satu kempen untuk mengetengahkan Wangsa Maju sebagai bandar perintis rendah karbon yang perlu direalisasikan dan dilestarikan bersama.
"Dalam acara ini, peserta digalakkan untuk berpenampilan berdasarkan tema mengikut kreativiti masing-masing.
"Sepuluh peserta yang paling menepati tema akan memenangi hadiah berupa wang tunai," katanya pada sidang media berkenaan karnival tersebut di Kuala Lumpur.
![]() |
Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan |
Zahir berkata, pihaknya menyasarkan seramai 1,800 peserta akan menyertai karnival ini yang julung kali diadakan.
"FunWalk ini bukan berlari cuma 'walk' saja, kita tak jauh cuma dua pusingan yang lebih kurang 2.85 km" katanya.
Beliau berkata, karnival ini juga akan menampilkan Management and Science University (MSU) sebagai rakan strategik dalam menjayakan program ini di mana penyampaian Biasiswa Yayasan MSU akan menjadi salah satu agenda utama.
"Biasiswa ini akan diserahkan kepada calon-calon SPM 2023 untuk melanjutkan pelajaran ke MSU. Maklumat mengenai kursus-kursus yang ditawarkan di MSU juga boleh didapati sepanjang karnival berlangsung.
"Selain daripada tiga acara utama ini, ada pelbagai lagi aktiviti menarik sepanjang karnival ini antaranya saringan kesihatan percuma, Bazar SDG Back To School, sesi libat urus bersama Jabatan Kesihatan, KWSP dan PTPK serta kaunter-kaunter agensi seperti DBKL, pendaftaran PADU, PTPK, KWSP, Tabung Haji dan banyak lagi," katanya.
0 Comments