![]() |
Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat. |
Polis menahan seorang sukarelawan polis wanita malam tadi, selepas disyaki meninggalkan komen bersifat mengaibkan dalam satu hantaran di laman sosial Facebook.
Ketua Polis
Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru
Selatan (JBS) menerima laporan polis yang dibuat seorang pegawai kanan
polis yang melayari laman sosial Facebook dan menemui satu hantaran ditularkan
pada pukul 10.22 malam tadi.
"Terdapat
satu komen dibuat seorang pemilik akaun yang merujuk kepada seseorang atau
individu yang dipercayai bermotif mengaibkan dan keterlaluan,” katanya
dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata
siasatan awal mendapati wanita yang membuat komen itu berkhidmat di
Mersing dan semakan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah
dihantar bagi siasatan lanjut ke atas pemilik akaun terbabit.
Polis kemudian
menahan wanita berusia 39 tahun itu pada pukul 10.58 malam tadi di kawasan
Endau, Mersing, katanya.
Beliau
berkata kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan
Kecil 1955.
Dalam pada itu,
Kamarul Zaman menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika menggunakan
media sosial agar tidak mengeluarkan ayat-ayat yang menghina sesiapa sehingga
mendatangkan kegusaran masyarakat.
Terdahulu, tular
satu hantaran di Facebook yang menjadi trend terkini bertanyakan mengenai
apa yang terlintas di fikiran apabila menyebut tentang sesuatu nama.
Berdasarkan
hantaran tular itu yang menanyakan tentang “Bila sebut Madani, apa yang
terlintas di fikiran anda?”
Suspek kemudian
dilihat meninggalkan komen bersifat mengaibkan yang dipercayai ditujukan kepada
seseorang.
Bagaimanapun, komen itu dipercayai sudah dipadam. - Bernama
0 Comments