Caj parking 'park and ride' di stesen LRT naik?

Kaki Repot mengesan caj parking atau tempat letak kereta di beberapa stesen Transit Aliran Ringan (LRT) mengalami kenaikan bermula 1 Oktober lalu.

Stesen LRT yang terlibat dengan kenaikan caj tempat letak kereta tersebut adalah Putra Heights, Subang Alam, Alam Megah, USJ21 dan PWTC.

Perkara itu dimaklumkan dan disahkan oleh penyedia aplikasi khidmat pembayaran letak kereta, JomParking menerusi satu kenyataan ringkas di media sosial Ahad lalu.

“Bagi yang parking di kawasan LRT berkenaan, mulai 1 Oktober 2023, terdapat perubahan pada kadar bayaran tempat letak kereta di stesen-stesen LRT terlibat,” tulis JomParking di Facebook.

JomParking dalam kenyataan ringkas itu turut memaklumkan bahawa caj parkir sekali masuk dan caj maksimum harian masing-masing dinaikkan sebanyak 30 sen.

Kedua-dua caj tersebut sebelum ini masing-masing dikenakan sebanyak RM4 dan RM5.

Bagaimanapun, caj parkir sekali masuk bagi tempat letak kereta di stesen LRT PWTC akan dinaikkan kepada RM5.30 berbanding RM5 sebelum ini.

Pada 2016, Prasarana Malaysia Berhad dalam kenyataan memaklumkan orang ramai yang menggunakan ‘park and ride’ di stesen Putra Heights, Subang Alam, Alam Megah, USJ21 mula dikenakan caj tempat letak kereta sebanyak RM4 sejak Ogos 2016.

Menurut Prasarana, pada mulanya kemudahan tempat letak kereta itu ditawarkan percuma sejak 30 Jun 2016 sebagai inisiatif Rapid KL mempromosikan perkhidmatan LRT kepada pengguna terutama dalam kalangan penduduk.

“Namun kemudahan letak motosikal dan basikal di stesen tersebut kekal percuma,” kata Ketua Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Lim Jin Aun pada 12 Ogos 2016.

Sementara itu, JomParking menasihatkan pengguna LRT supaya memastikan baki token pada aplikasi itu mencukupi.

“Pastikan token anda mencukupi supaya tiada sebarang kesulitan ketika membayar parkir dengan JomParking,” tambah syarikat itu.


0 Comments