Oleh Nik Sukry Ramli
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua pemilik kediaman, terutamanya di kawasan Perkampungan Sungai Isap 2, dekat Kuantan, memeriksa sistem pendawaian rumah masing-masing bagi mengelak insiden tidak diingini.
Baginda bertitah, kejadian malang meragut nyawa tiga beranak Ahad lalu mungkin boleh dielakkan jika semua pihak memandang serius tahap keselamatan kediaman mereka.
“Sebelum ini pun saya sudah berpesan mengenai perkara ini, mungkin disebabkan sikap memandang remeh atau tidak begitu peduli yang akhirnya mengakibatkan insiden atau kejadian hingga meragut nyawa ahli keluarga.
“Saya harap, kejadian seperti ini tidak lagi berulang dan jadikan insiden hujung minggu lalu sebagai (kejadian) yang terakhir di kawasan ini,” titahnya.
Baginda bertitah selepas menziarahi mangsa kebakaran di Perkampungan Sungai Isap 2, dekat Kuantan, hari ini.
Baginda diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Hamdan Wahid.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan antaranya daripada Takaful Insuran, pejabat Menteri Besar Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan sumbangan peribadi Baginda.
Sementara itu, Hamdan berkata, siasatan dijalankan Unit Forensik JBPM mendapati kebakaran pagi Ahad lalu itu berpunca daripada motor kipas meja yang mengalami kerosakan hingga mengakibatkan berlaku litar pintas.
“Hasil bedah siasat dijalankan terhadap tiga mangsa yang maut dalam kejadian itu mendapati punca kematian adalah kecederaan akibat kesan terbakar dan tidak ada sebarang unsur jenayah dikesan,” katanya.
Dalam kejadian itu, Sharifah Azlina Syed Kassim, 37 bersama dua anaknya, Muhamad Haikal Hakimi Hairol, 11 dan Muhamad Adam Daniel, 7 tahun ditemui rentung dalam dua bilik berasingan.
Lima lagi ahli keluarga mereka berjaya menyelamatkan diri, namun tiga daripadanya mengalami kecederaan akibat melecur, kesan kebakaran berkenaan. - Berita Harian, 24 Julai 2019
0 Comments