Putrajaya belum berbincang dengan syarikat pengendali lebuh raya bertol mengenai kemungkinan tol percuma sempena perayaan Deepavali hujung minggu ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Abdul Rahman Mohamad.
Katanya,
pengumuman mengenai tol percuma itu akan dibuat sekiranya ada kelulusan
daripada Kementerian Kewangan.
“Setakat ini saya
nyatakan belum ada perbincangan lagi, kalau ada pengumuman, ia akan dibuat oleh
MOF (Kementerian Kewangan), jika dapat kelulusan MOF baharu Kementerian Kerja
Raya akan umumkan pelepasan tol itu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat,
hari ini.
Beliau menjawab
soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bertanya sama ada kerajaan akan
memberi tol percuma sempena sambutan Deepavali, ketika orang ramai dijangka
pulang ke kampung atau mengambil kesempatan bercuti di luar kawasan.
Deepavali bakal
disambut Ahad ini, menjadikan di sesetengah negeri Isnin dikira sebagai cuti
ganti kepada cuti umum.
Kementerian
Pendidikan pula menetapkan cuti tambahan sehari sebelum dan sehari selepas,
menjadikan sebahagian negeri bercuti antara Jumaat dan Isnin, sementara
sebahagian lagi antara Sabtu dan Selasa.
Semasa cuti
sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada April lalu, Putrajaya memberikan tol
percuma yang disebut sebagai ‘tol rahmah’ selama empat hari melibatkan 33 lebuh
raya utama di seluruh negara.
0 Comments