Kerajaan akan meneliti terlebih dahulu tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia mengharamkan transaksi e-dagang di platform media sosial TikTok sebelum merangka langkah yang bersesuaian di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata
beliau sendiri pernah menerima aduan orang awam yang melahirkan kerisauan jika
langkah yang sama diikuti oleh kerajaan, namun pada masa yang sama beberapa
gedung besar turut membangkitkan isu berkaitan persaingan harga terhadap
produk-produk yang dijual menerusi platfom itu.
"Ramai dalam
kalangan rakyat Malaysia menggunakan platform TikTok Shop untuk menjual barang,
jadi saya akan minta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan KKD
untuk meneliti asas langkah yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia untuk
mengekang TikTok Shop.
"Saya rasa
pihak TikTok perlu tampil memberikan penjelasan kerana salah satu aduan atau
pun asas kenapa TikTok Shop dilarang di Indonesia ialah kerana isu penentuan
harga predatori yang berlaku terhadap produk-produk, yang akhirnya memangsakan
pengusaha tempatan di Indonesia,” katanya.
Beliau berkata
demikian ketika ditemui pemberita pada program Gotong Royong Projek Perumahan
Rakyat (PPR) Kampung Limau di Pantai Dalam, di Kuala Lumpur pada Sabtu. – Bernama
0 Comments