Kerajaan teruskan latihan PLKN, pelatih jalani latihan di kem tentera dan Pulapol

Kerajaan bersetuju meneruskan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan pada 2018 menggunakan modul latihan berbeza berbanding sebelumnya, dengan 4,000 anak muda akan menjalani latihan di kem tentera dan Pusat Latihan Polis (Pulapol).

Menteri Pertahanan, Mohamad Hasan berkata, sebanyak 13 kem tentera Wataniah akan digunakan untuk latihan selama tempoh 45 hari yang mampu menampung kapasiti sehingga 4,000 pelatih.

“Kerajaan telah memikirkan untuk meneruskan semula PLKN ini. Jemaah Menteri pada 2021 telah pun meluluskan untuk mengkaji semula cara baharu untuk meluluskan PLKN kerana ia amat baik untuk memberikan asas ketatanegaraan kepada belia kita.

“Satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk mengkaji bagaimana cara kita hidupkan semula PLKN ini, tetapi dengan template (acuan) baharu, bukan dengan menggunakan template lama yang dulu dilakukan lebih kepada kem musim panas.

“Tetapi kita mahu kali ini (PLKN dilaksanakan) tanpa berbelanja banyak, tetapi lebih memberikan pulangan baik kepada modal insan yang akan menyertainya nanti," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang ingin tahu sama ada kerajaan mempertimbangkan cadangan pelaksanaan semula PLKN sebagai satu inisiatif di bawah kementerian.

Sementara itu, Mohamad ketika sidang media menjelaskan, pelaksanaan PLKN 3.0 akan merangkumi dua fasa, dengan fasa pertama membabitkan penyertaan pelajar tingkatan empat di sekolah menerusi badan beruniform.

"Selepas itu, mereka yang selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dilatih dan diambil (dalam) apa yang disebut sebagai latihan fasa kedua. Ini lebih kepada latihan disiplin dan ketenteraan.

"Itu sebab dia punya cadangan supaya pusat latihan ini diadakan di kem tentera. Kita ada Pusat Latihan Askar Wataniah sebanyak 13 di seluruh negara serta Pulapol yang dapat menampung latihan untuk satu tahun sekurang-kurangnya 4,000 orang," katanya dipetik Berita Harian Online.

0 Comments