Bank Negara Malaysia (BNM) akan melaksanakan sebarang langkah perlu untuk memastikan ringgit terus diselaraskan secara teratur yang membolehkan urusan perniagaan dipermudah, lapor Bernama.
Gabenor BNM Abdul
Rasheed Abdul Ghaffour berkata bank pusat menyediakan beberapa langkah pasaran
yang boleh dimanfaatkan untuk merangsang ringgit sekiranya perlu.
Bagaimanapun
ketika ditemui pemberita di luar Persidangan Jawatankuasa Bersama Mengenai
Perubahan Iklim (JC3) bertemakan ‘Journey to Zero’ di Kuala Lumpur hari ini,
beliau tidak berkongsi perincian mengenai langkah itu.
Abdul Rasheed
berkata walaupun paras ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) mencapai
paras seperti semasa krisis kewangan Asia, negara tidak mengalami situasi
krisis berdasarkan asas teguhnya yang digambarkan antaranya oleh pertumbuhan
ekonomi dan sistem perbankan dengan permodalan kukuh.
Menurutnya
pasaran mata wang beroperasi dalam persekitaran dolar AS yang teguh dan pasaran
kewangan terus terkesan dengan perkembangan geopolitik terkini.
“Hampir semua
mata wang di dunia menyusut berbanding dolar AS terutamanya di negara pesat
membangun termasuk Malaysia.
“Apa yang ingin
saya tegaskan adalah walaupun kita mencapai paras seperti semasa krisis
kewangan Asia, kita tidak berada dalam keadaan krisis. Ini berbeza berbanding
apa yang kita alami sebelum ini, ” katanya.
Beliau berkata
baru-baru ini Jabatan Perangkaan Malaysia mengunjurkan Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK) bagi suku ketiga akan meningkat sebanyak 3.3 peratus, naik
berbanding pertumbuhan 2.9 peratus pada suku sebelumnya.
“Kedua kita
mempunyai sistem perbankan yang kukuh disokong oleh tahap permodalan yang
tinggi dan aset yang teguh dan mereka bersedia untuk membiayai ekonomi bagi
menyokong pertumbuhan ekonomi di Malaysia.
“Ketiga, sektor
modal kita juga amat kukuh dengan lebihan akaun modal,” katanya.
Terdahulu dalam
ucapannya ketika persidangan itu Abdul Rasheed berkata berikutan pertumbuhan
menerima momentum, disinflasi yang stabil, lebihan akaun semasa dan sistem
perbankan yang mantap, pergerakan semasa ringgit dilihat lebih banyak
dipengaruhi oleh perkembangan global.
“Namun ini sudah
pasti tidak menggambarkan asas ekonomi kita,” katanya sambil memaklumkan
ekonomi Malaysia pada masa kini adalah berdaya tahan khususnya dari segi asas
ekonomi, keteguhan sektor kewangan dan hutang pasaran kewangan.
0 Comments