Anwar dipetik
Bernama berkata pembunuhan kanak-kanak, wanita dan rakyat Palestin yang tidak
berdosa di Gaza mesti dihentikan.
“Malaysia
bukanlah negara besar, bukan negara Arab, bukan negara Teluk yang berjiran
dengan Palestin. Tetapi kita bertanggungjawab menyuarakan hati nurani umat dan
rakyat Palestin,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dengan
diaspora dan pelajar Malaysia di Mesir di Kaherah, malam tadi.
Majlis yang
dihadiri kira-kira 1,200 rakyat Malaysia itu antaranya turut dihadiri Menteri
Luar Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul
Firdaus Akbar Khan, Duta Besar Malaysia ke Mesir Zamani Ismail dan
pegawai-pegawai kedutaan Malaysia di Kaherah.
Menurut Anwar
beliau juga kesal kerana negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan
Eropah seolah-olah ‘tidak mempunyai masa’ untuk menghentikan kezaliman,
penindasan dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin di Gaza selain bersikap
dingin terhadap usaha penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Dalam
perkembangan lain, Anwar berkata beliau memberi kebebasan sepenuhnya kepada
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan
tanggungjawabnya membanteras gejala rasuah di negara ini.
Ketika menjawab
pertanyaan diaspora pada majlis ramah mesra itu, Anwar berkata beliau yakin
gejala rasuah di negara ini boleh diatasi dengan sokongan semua pihak termasuk
pemimpin tertinggi negara tidak terkecuali Perdana Menteri, perlu mengelak
menggunakan kedudukan untuk mengumpul kekayaan.
Anwar kini berada
di Kaherah dalam lawatan kerja dua hari ke Mesir dan beliau dijadual menghadap
Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al Ittihadiya.
Perdana Menteri
turut dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Imam Besar Al-Azhar Sheikh
Ahmed el-Tayeb sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
0 Comments