Jumlah kematian akibat pencerobohan Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza meningkat kepada 413 manakala 2,300 lagi cedera, kata Kementerian Kesihatan Palestin semalam.
Agensi berita
Palestin (Wafa) melaporkan mereka yang terbunuh termasuk 78 kanak-kanak dan 41
wanita, akibat pengeboman pesawat pejuang Israel ke atas beberapa rumah di
kawasan berbeza di Semenanjung Gaza.
Dua serangan
udara Israel di bandar Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza, dan di bandar
Beit Hanoun di utara turut meragut nyawa bayi, wanita dan warga emas,
tambahnya.
Reuters melaporkan
Semenanjung Gaza mengalami hari paling teruk dalam tempoh 15 tahun susulan
serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh Hamas ke atas Israel.
Menurut pegawai
Palestin, serangan udara Israel membunuh hampir 300 rakyat Palestin dalam
tempoh 24 jam.
Sementara menurut
ahli keluarga, serangan pada Sabtu di Khan Younis selatan Semenanjung Gaza itu
turut mengorbankan kembar berusia tiga bulan yang terbunuh bersama ibu dan tiga
kakak.
Sekurang-kurangnya
10 orang terbunuh dalam serangan yang memusnahkan empat kediaman.
Sehingga semalam,
pasukan penyelamat masih berusaha mencari mangsa yang terselamat di bawah
runtuhan.
Sementara itu, jurucakap
tentera Israel berkata serangan oleh pejuang Hamas, yang membunuh
sekurang-kurangnya 700 warga Israel dan menawan puluhan yang lain, sebagai
kejadian paling teruk dalam sejarah Israel dan membalas tindakan itu dengan
keras.
Setakat ini,
Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza yang dikawal Hamas melaporkan 370
rakyat Palestin terbunuh dan 2,200 lagi cedera, dengan hampir 300 terbunuh pada
Sabtu, sekali gus ia mencatatkan jumlah terbesar rakyat Palestin terbunuh di
Gaza oleh serangan Israel dalam satu hari sejak 2008.
Dalam pada itu,
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar melakukan 'pembalasan besar
terhadap hari serangan yang disifatkan sangat teruk' itu.
Di Gaza, Sabreen
Abu Daqqa, seorang penduduk yang dikeluarkan daripada runtuhan rumah di Khan
Younis, menerima berita tiga anaknya terbunuh, dua cedera dan nasib anak
keenamnya belum diketahui ketika berada di hospital.
"Ketika
runtuhan berlaku, anak-anak berada di sekeliling saya.
"Sahutan
terhadap panggilan saya semakin lemah, kami terperangkap dalam runtuhan
kira-kira tiga jam," katanya dengan suara lemah ketika ditemui hospital.
0 Comments