Rumah, pusat punggah ikan di Pulau Ketam hangus terbakar

Tiga rumah dan dua tempat pemunggahan ikan di Bagan Teow Chew, Pulau Ketam di Klang musnah dijilat api dalam kebakaran hari ini

Kejadian yang berlaku kira-kira 12.30 tengah hari tadi turut memusnahkan tiga bot nelayan yang berada berdekatan jeti itu.

Menurut seorang pengurus hotel di pulau itu John Cha dipetik The Star berkata, kebakaran disyaki bermula selepas jam 11 pagi.

“Kebakaran bermula di bahagian belakang pulau itu dan kami masih belum mengetahui puncanya,” kata Cha.

Kebakaran bagaimanapun berjaya dipadamkan kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

Utusan Malaysia melaporkan kejadian berlaku ketika rata-rata penduduk yang terdiri daripada nelayan tiada di rumah kerana menangkap hasil laut.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Wong, 50-an berkata, kebakaran itu dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak ke premis berdekatan lain.

“Melihat api mula marak, penduduk dan pasukan bomba sukarelawan segera memadamkan kebakaran itu.

“Selain itu, penduduk bertindak menyimbah air di lapan rumah berhampiran bagi mengurangkan bahang dan kemusnahan lebih besar,” katanya dipetik Utusan Malaysia, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian melibatkan rumah bangunan kelas C tersebut.

0 Comments