PayNet sahkan caj transaksi DuitNow QR bermula 1 November

Pengguna menggimbas kod QR DuitNow untuk membuat pembayaran. Gambar: Facebook

Pengendali khidmat pindahan wang tanpa sentuh, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) hari ini tampil mengesahkan bahawa vendor atau peniaga akan dikenakan caj transaksi untuk pembayaran yang diterima melalui platform DuitNow QR berkuat kuasa 1 November depan.

PayNet dalam satu kenyataan berkata sewaktu aplikasi DuitNow QR diperkenalkan pada tahun 2019, pengendali tidak mengenakan sebarang caj kadar diskaun pedagang atau ‘merchant discount rate’ (MDR).

“Kebimbangan dibangkitkan mengenai kesan yuran yang bakal dikenakan ke atas peniaga dan impak kepada harga barangan dan perkhidmatan boleh difahami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Bagaimanapun, dua jenis e-pembayaran yang berbeza telah disifatkan oleh media sebagai sama, iaitu kadar diskaun pedagang (MDR) dan yuran 50 sen untuk transaksi melebihi RM5,000.

“Liputan tersebut telah secara tidak tepat menggambarkan dua jenis e-pembayaran yang berbeza sebagai satu yang sama.”

Media pada Selasa melaporkan caj transaksi akan berkuat kuasa di semua bank mulai 1 November dan jumlah bayaran yang dikenakan ke atas akaun peniaga apabila menerima bayaran melalui DuitNow akan berbeza-beza berdasarkan cara pemindahan.

Mengulas lanjut, PayNet berkata, e-pembayaran yang dibuat melalui aplikasi berkenaan kepada mana-mana peniaga tidak akan menjejaskan harga barangan dan perkhidmatan.

“Peniaga akan menerima bayaran yang dibuat oleh pelanggan mereka selepas ditolak MDR dan ketika ini pembayaran kad debit dan kredit dikenakan MDR manakala terdapat penepian atau ‘waiver’ MDR pada pembayaran QR,” jelasnya.

Pada masa sama, PayNet memaklumkan dana rizab bakal diwujudkan menerusi MDR yang dikutip untuk memberi insentif kepada pemeroleh supaya tidak mengenakan sebarang MDR kepada peniaga kecil.

“Walaupun PayNet tidak berada dalam kedudukan untuk menentukan harga pasaran yang dikenakan kepada peniaga, beberapa bank dan pemeroleh pihak ketiga berhasrat untuk sama ada terus menangguhkan mengenakan MDR atau menyerapnya untuk perniagaan yang lebih kecil.

“Dalam hal ini, peniaga harus menyemak dengan bank atau pemeroleh pihak ketiga mereka untuk mengesahkan perkara ini,” kata kenyataan itu.







0 Comments