Gardenia diberi tempoh 6 hari jelaskan tindakan naikkan harga sebahagian roti, kata Fuziah

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh. Gambar: Facebook 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh memaklumkan kementeriannya sudah mengeluarkan notis meminta syarikat pengeluar roti Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) memberikan penjelasan dalam tempoh enam hari berhubung kenaikan harga 30 jenis roti miliknya bermula 1 Oktober ini.

Fuziah berkata, syarikat pengelaur roti berkenaan perlu menjawab notis yang dikeluarkan kementeriannya semalam, sebagai sebahagian daripada usaha pihaknya bagi mengelak berlakunya kenaikan harga yang tidak munasabah sehingga boleh membebankan rakyat.

"Pihak Gardenia perlu menjawab notis itu dalam tempoh enam hari sebab kita hendak tahu semua kos terlibat, sebagai contoh harga tepung digunakan, kos pengangkutan, borong dan runcit,” katanya dipetik Bernama.

“Keseluruhan rantaian bekalan ini perlu dijelaskan.” 

Gardenia KL sebelum ini mengesahkan 30 produk mereka akan mengalami kenaikan harga antara 10 dan 40 sen, selepas menyemak semula harga bagi produk terpilih.

Bagaimanapun harga roti putih, roti gandum penuh dan roti Toast'em masih kekal bagi memastikan kenaikan tidak membebankan majoriti pelanggan.

0 Comments