Sistem kutipan tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) yang membolehkan pengguna lebuh raya membuat bayaran tol menggunakan kad debit atau kad kredit dilaksanakan secara rasmi di 11 lebuh raya, bermula hari ini, lapor Bernama.
Pelaksanaan SPT
itu membabitkan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya
Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Baru Pantai
(NPE) dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).
Ia
turut melibatkan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Skim
Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS),
Terowong Smart, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Duta-Ulu
Klang (DUKE).
Menteri Kerja
Raya Alexander Nanta Linggi berkata pelaksanaan SPT itu menjadi alternatif
baharu bagi kaedah pembayaran tol sedia ada seperti kad Touch ‘n Go, SmartTag
dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
“Objektif
kita adalah untuk mudahkan pengguna membuat pilihan sebab sebelum ini
hanya ada satu dua sistem sahaja dan mungkin ada kalanya kad yang kita ada
baki tidak mencukupi.
“Jadi sekarang
pengguna ada pilihan lain untuk menggunakan SPT, ini juga adalah langkah awal
dalam melaksanakan aliran bebas pelbagai lorong (MLFF) kelak,” katanya kepada
pemberita selepas majlis Pelaksanaan Sistem Kutipan Tol SPT secara rasmi
di Plaza Tol Loke Yew Lebuhraya Sungai Besi hari ini.
Beliau
berkata 12 lebuh raya telah bersetuju melaksanakan sistem SPT
setakat ini, namun pelaksanaan SPT di Jambatan Pulau Pinang (JPP) dijangka
hanya akan bermula hujung tahun ini bagi membolehkan penelitian dan perincian
lanjut dibuat oleh syarikat konsesi.
Dalam pada itu,
Nanta berkata perbincangan berterusan sentiasa diadakan dalam usaha memperluaskan
pelaksanaan sistem SPT itu di kebanyakan lebuh raya yang lain.
Pelaksanaan sistem
SPT merupakan inisiatif Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan
syarikat konsesi lebuh raya sejajar dengan kempen MYjalan bagi memberi
kemudahan kepada pengguna jalan raya.
0 Comments