Uji Covid-19 dalam 10 minit, Bangladesh hasilkan kaedah berharga RM10

Penyelidik dari Bangladesh berjaya membangunkan kaedah pengesanan Coronavirus (Covid-19) yang "mudah, murah dan berkesan" pada harga sekitar Tk 200-250 (RM10.38-RM12.38), lapor portal berita tempatan UNB.

Pengasas Gonoshasthaya Kendra, Dr Zafrullah Chowdhury berkata projek usahasama pakar dari Singapura yang diberi nama Gonoshasthaya Rapid Dot Blot mampu mengeluarkan keputusan dalam tempoh hanya 5 hingga 10 minit.

Katanya, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) sudah mengesahkan mereka akan menggunakan sistem tersebut.

"Kami membangunkan kaedah, bukan kit. Kit adalah sistem yang sangat mahal dan memakan masa.
"Ia hampir sama dengan ujian darah dan akan membolehkan doktor melakukan ujian di bilik mereka," kata Zafrullah.

Bangladesh mengesahkan kes pertama Covid-19 pada 8 Mac. Setakat ini, 14 orang disahkan positif.
Sementara itu, Institut Epidemiologi, Kawalan Penyakit dan Penyelidikan (IEDCR) pada Rabu mengesahkan kematian pertama akibat Covid-19 di Bangladesh.

Untuk menangani keadaan yang semakin bertambah buruk, Menteri Pengangkutan Obaidul Quader berkata Bangladesh akan melakukan perintah darurat jika perlu untuk mencegah penyebaran Covid-19.

Zafrullah berkata mereka akan mula bekerja membuat kaedah itu jika Ketua Pengarah Pentadbiran Dadah memberi kebenaran kepada mereka.

Ditanya sama ada mereka telah menggunakan kaedah itu, beliau berkata mereka sudah menguji beberapa orang di negara ini, tetapi mendapati semuanya negatif.

"Kami juga ada menggunakan kaedah di luar negara dan mendapati ada kes positif," katanya.

0 Comments