Kurikulum universiti awam disemak tahun depan

KURIKULUM, kursus dan bidang pengajian di universiti awam akan disemak tahun hadapan sebagai usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan di pasaran pekerjaan, lapor Harian Metro hari ini.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dipetik sebagai berkata, langkah itu diambil bagi memastikan tahap daya saing graduan dapat ditingkatkan bukan sahaja di peringkat tempatan sebaliknya di dunia.

“Bagi memastikan ia dapat dilakukan, kami akan menggunakan sebaik mungkin ‘big data’ untuk menggabungkan antara permintaan dan penawaran pasaran kerjaya.

“’Big data’ ini adalah untuk memastikan graduan kita boleh dipasarkan sejak mereka berada di bangku universiti lagi.

“Kita memadankan data di peringkat pendidikan dasar dengan data di peringkat pendidikan tinggi, supaya boleh disalurkan ke arah pekerjaan berdasarkan potensi sejak awal lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Aaron Ago Dagang (GPS-Kanowit) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Maszlee berkata, kementerian sudah melakukan pelbagai inisiatif termasuk kerjasama di peringkat antarabangsa dan bersama pihak industri dalam menyelesaikan isu kebolehpasaran graduan ini.

“Kita juga melakukan semakan terhadap kursus yang tidak lagi berdaya saing dan tidak boleh menawarkan pasaran kerja bagi graduan akan kita gantikan. Kita jumudkan dan digantikan dengan kursus terkini yang boleh memberikan peluang kerja lebih baik,” katanya.

Menjawab soalan asal, Maszlee berkata, berdasarkan QS University Ranking: Asia 2020 dikeluarkan hari ini, kedudukan Universiti Malaya (UM) buat pertama kalinya dalam sejarah berada di tangga pertama di Malaysia dan ke-13 di Asia, berbanding di tangga ke-24 pada tahun lalu.

Katanya, peningkatan ketara berlaku bagi Universiti Teknologi MARA (UiTM) iaitu pada kedudukan 158 tahun lalu, meningkat kepada 119 pada 2020.

Dalam pada itu, katanya, Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang menduduki tangga ke 290 tahun lalu, meningkat ke tangga 134 pada 2020.

“Ini semua hasil daripada usaha pembaharuan holistik yang sudah dilakukan sejak tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, bagi menjawab soalan lain oleh Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-UMNO Padang Terap), Maszlee berkata, belum ada tempoh khusus diberi untuk memuktamadkan cadangan penggabungan dua universiti awam di Terengganu.

0 Comments