UiTM beri penekanan kepentingan IoT dalam bidang ditawarkan

Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberi penekanan kepada kepentingan Internet of Things (IoT) dalam semua bidang yang ditawarkan ke arah mempersiapkan graduannya ke arah Revolusi Industri 4.0.

Naib Canselornya Prof Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim berkata salah satu bidang berkenaan ialah Teknologi dan Pengurusan Perladangan yang diberi keutamaan dalam Bidang Ekonomi Negara dan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar.

"Semua sedia maklum bahawa agenda pertanian negara kini beralih kepada penguasaan pasaran global yang berasaskan suntikan teknologi dan kepakaran saintifik.

"UiTM telah melangkah jauh ke arah itu apabila graduan UiTM kini dilatih dan dididik sebagai generasi intelek pertanian yang perlu memahami apa itu IoT," katanya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen Ke-91 UiTM Cawangan Melaka di Alor Gajah, hari ini.

Beliau berkata IoT membolehkan graduan memahami trend global semasa yang menekankan amalan pertanian pintar sejajar dengan kehendak Revolusi Industri 4.0.

Beliau berkata sejajar dengan penekanan itu, graduan UiTM juga disaran untuk merebut peluang menjadi agropreneur yang inovatif dan berdaya saing.

Mohd Azraai berkata kecemerlangan UiTM disenaraikan dalam “Top 1000 QS World Rankings” menunjukkan bahawa UiTM berada di landasan yang tepat dalam menyediakan kualiti pendidikan tinggi yang berkualiti dan penarafan itu tidak akan terhasil tanpa kegigihan para graduan sendiri.

Beliau berkata dunia pekerjaan di luar merupakan platform untuk graduan menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja sama ada mereka memilih untuk makan gaji atau pun sebaliknya.

Justeru graduan UiTM diingatkan sentiasa merendah diri dan memiliki sikap keterbukaan dan sentiasa bersedia menerima teguran serta pandangan daripada orang lain agar dapat meningkatkan kualiti diri.

Seramai 2,360 graduan menerima ijazah pertama dan diploma pada istiadat konvokesyen yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.- BERNAMA

0 Comments