Tambahan geran penyelidikan mampu lahirkan lebih ramai pemegang PhD

Dana geran berjumlah RM400 juta bagi memperkasa aktiviti penyelidikan, membuktikan komitmen kerajaan dalam melahirkan lebih ramai pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang berkualiti di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata geran penyelidikan itu juga sekali gus membantu menyumbang kepada sasaran kerajaan melahirkan 60,000 pemegang PhD dalam kalangan rakyat Malaysia menjelang 2023, sebagaimana digariskan dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara.

“Dalam hanya tempoh dua tahun dana geran penyelidikan ini semakin meningkat, daripada RM200 juta pada 2018 kepada RM275.35 juta pada 2019 dan tahun depan pula diluluskan RM400 juta, yang membuktikan komitmen kita membantu pelajar kita,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) yang ingin tahu komitmen kerajaan dalam memastikan sasaran 60,000 pemegang ijazah PhD menjelang 2023 tercapai, selepas program Biasiswa MyBrain ditangguhkan.

Mengulas lanjut, Teo berkata pemberian geran penyelidikan itu dilihat lebih bermanfaat, dalam melahirkan graduan yang berkualiti dan lulus pada masa yang ditetapkan.

Jelasnya, ini kerana melalui aktiviti penyelidikan, pelajar PhD akan diselia dengan ketat oleh Universiti Awam, disamping melibatkan diri dalam penghasilan penemuan-penemuan baru, yang turut memberi manfaat kepada negara.

“Kalau kita guna penyelidikan ini pelajar akan menjalankannya di bawah seliaan mentor, pensyarah serta profesor bertauliah, yang akan memastikan penyelidikan dibuat relevan dan membawa manfaat kepada negara.

“Salah satu masalah MyBrain ialah mereka tidak tamatkan pengajian ikut masa dan itu menyebabkan pembaziran dari segi dana, masa, tenaga dan oleh sebab itu kita rasa menyediakan dana penyelidikan lebih baik," tambahnya. - BERNAMA

0 Comments