Guru disaran kuasai teknologi depani cabaran IR 4.0

Warga pendidik di Kelantan disaran melengkapkan diri dengan pengetahuan teknologi maklumat serta komunikasi sebagai persediaan mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Abu Hanipah @ Fauzi Zahari.

Beliau berkata setiap guru perlu mempunyai kefahaman yang jelas berhubung teknologi terkini terutama bagi tujuan memantapkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas.

"Sebagai guru, pengetahuan dan kemahiran perlu seiring atau lebih terkehadapan daripada murid khususnya yang membabitkan aplikasi teknologi terkini.

"Guru perlu sesuaikan diri dengan teknik pembelajaran masa kini memandangkan murid pada hari ini boleh mengakses maklumat di mana sahaja pada bila-bila masa yang diperlukan," katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Pembestarian Sekolah di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Majlis itu bertujuan bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada murid, guru dan sekolah yang telah menjayakan inovasi dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah serta pembelajaran di dalam dan luar bilik darjah dengan menggunakan teknologi maklumat dan inovasi.

Abu Hanifah berkata bagaimanapun PdP pada era IR 4.0 tidak semestinya perlu bergantung sepenuhnya kepada teknologi yang tinggi tetapi lebih kepada kreativiti dan inovasi penyampaian maklumat yang disampaikan oleh guru.

"Guru perlu mengajar murid supaya mudah beradaptasi dengan perubahan daripada segi teknologi di sekeliling dan memahami bagaimana sesuatu perkara itu berfungsi," katanya.

Dalam pada itu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian muncul sekolah terbaik keseluruhan apabila menjuarai lima daripada 21 kategori yang dipertandingkan.

Lima kategori yang dimenangi itu adalah Penggerak Digital, National ICT Security Discourse (NICTSeD), Ikon Guru Perpustakaan dan Media, Ikon Guru Penyelaras Bestari dan kategori khas Anugerah Teknologi Pendidikan.

SMK Kubang Kerian mengungguli anugerah berkenaan selepas memenangi pelbagai pertandingan inovasi dan teknologi termasuk mendapat tempat kedua bagi pertandingan Design For Change yang dianjurkan di Itali pada tahun ini melalui projek Food Save Tank dengan menerima hadiah RM25,000.

Sekolah itu juga telah dijemput sebagai pembentang projek berkenaan pada satu persidangan berkaitan isu sama di Rom, Itali pada 27 Nov depan. - BERNAMA

0 Comments