Vietnam hasilkan kit kesan Covid-19 pertama di dunia

Vietnam muncul negara pertama membangunkan kit pengesanan penyakit berjangkit Coronavirus (Covid-19) dengan keberkesanan ujian lebih cepat, mudah serta dipasarkan pada harga berpatutan, lapor media tempatan, VN Express International.

Kit yang dibangunkan bersama Universiti Perubatan Tentera Vietnam dan sebuah firma teknologi negara itu, Viet A Technologies mampu mengesan Covid-19 menerusi spesimen titisan yang diperoleh daripada saluran pernafasan dan sampel darah.

Malah, kit yang menggunakan teknik biologi molekul, termasuk reaksi rangkaian polymerase transkripsi (RT-PCR) terbalik itu dibiayai oleh Kementerian Sains dan Teknologi dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.
Timbalan Menteri Sains dan Teknologi, Pham Cong Tac berkata pihaknya mempunyai bahan yang mencukupi untuk menghasilkan kira-kira 3,600 kit sekarang (kit yang baik untuk 50 ujian).

Beliau berkata, Viet A mengimport lebih banyak bahan untuk menghasilkan lagi 2,400 kit lagi.
“Firma itu boleh menghasilkan lebih banyak jika ia mengimport lebih banyak bahan dari AS dan negara lain.

“Vietnam mampu bergantung kepada kit pengesanan sendiri untuk melakukan ujian, walaupun wabak itu tersebar luas di negara berkenaan,” katanya pada Selasa selepas mesyuarat membincangkan langkah-langkah menentang wabak Covid-19.

Sementara itu, Pengarah Viet A Technologies, Phan Quoc Viet, berkata 20 buah negara dan wilayah sedang berunding berkenaan pembelian kit pengesanan Covid-19 dari Vietnam.

Katanya, firma itu akan mengeksport kit ke Iran, Finland, Malaysia dan Ukraine terlebih dahulu.
“Hanoi juga menempah 400 kit pengesanan untuk kegunaannya sendiri dan pemberian hadiah kepada masyarakat Itali yang kini negara kedua paling terjejas akibat Covid-19 selepas China,” katanya.

Terdahulu Viet berkata, syarikatnya mampu membuat 10,000 kit sehari, iaitu tiga kali ganda kapasiti jika diperlukan.

Kit pengesanan itu katanya, memberikan hasil yang lebih cepat dan lebih mudah digunakan berbanding kit yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Penyakit A.S. dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Vietnam kini mempunyai 30 kemudahan yang mampu melakukan ujian Covid-19, tiga daripadanya disahkan oleh WHO iaitu Institut Kebersihan dan Epidemiologi Kebangsaan di Hanoi, Institut Pasteur di Saigon dan Institut Pasteur di selatan Nha Trang.

0 Comments