Covid 19: Sepanyol laksana perintah berkurung

SEPANYOL mengikut langkah Itali dengan melaksana perintah berkurung di hampir seluruh negara itu bagi menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Larangan penduduk keluar rumah terpakai untuk semua aktiviti kecuali untuk bekerja, mendapatkan penjagaan perubatan atau membeli makanan.

AFP melaporkan, Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez mengumumkan sekatan pergerakan itu semalam, susulan peningkatan mendadak angka jangkitan di negara berkenaan yang mempunyai 46 juta penduduk.

Lebih 1,500 penduduknya disahkan dijangkiti Covid-19 pada Jumaat dan meningkat kepada 5,753 kes iaitu kedua tertinggi di Eropah selepas Itali.

Turut dijangkiti wabak itu adalah isteri Sanchez, Maria Begona Gomez Fernandez yang disahkan positif kira-kira sejam selepas suaminya mengumumkan perintah berkurung.

Ketika ini 183 penduduk Sepanyol terkorban akibat Covid-19.

Dalam pada itu, Reuters melaporkan peningkatan kes sama di Mexico yang merekodkan 41 kes pada Sabtu, manakala Korea Selatan dilapor mempunyai 76 kes baharu pada Ahad sekali gus menjadikan 8,162 kes direkod setakat ini.

Republik Congo pula mengesahkan kes pertamanya membabitkan lelaki berusia 50 tahun yang melancong ke negara itu pada 1 Mac lalu dari Paris.

0 Comments